PPC Iklan Blogger Indonesia

Jumat, 14 Januari 2011

Orientalisme Satu Agenda Barat


BILA agaknya kali terakhir kita mendengar kupasan maksud Jihad secara terperinci di sekolah ataupun di institusi pengajian tinggi? Boleh dikatakan tiada langsung.Malah tajuk yang sangat penting di dalam Islam ini sudah menjadi sesuatu yang terpisah daripada pengetahuan anak-anak muda di bangku sekolah mahupun universiti. Tiada teks sekolah dan universiti yang mengupas Jihad sebagai tajuk khusus untuk memperkasakan keyakinan umat ini terhadap janji-janji Allah swt. Aneh, tetapi benar.
Jihad yang terbayang dalam benak mereka adalah intifadah pemuda-pemudi Islam di Timur Barat yang sedang menentang Zionist yang dilaknati serta penjajah Eropah dan Amerika yang sewenang-wenangnya menduduki negara mereka sambil mentakhtakan pemimpin boneka yang tidak direstui rakyat. Pandangan sedemikian tidak terlalu jauh tersasar daripada hakikat Jihad sebenarnya.
Namun Jihad itu dilihat sebagai sesuatu yang lumrah di Timur Tengah, tidak ada kena mengena dengan benua lain di dunia. Media cetak dan elektronik antarabangsa pula asyik mencanangkan berbagai kemelut yang terjadi di Iraq, Pakistan, Afghanistan, Chechnya, Palestin dan Afrika sebagai konflik masyarakat yang dicetuskan “golongan pemisah” dan pengacau. Seolah-olah di mana saja Islam bertapak, di sana berlaku kekalutan dalam masyarakat. Media telah berjaya memencilkan kebangkitan jihad ummah ini kepada zon-zon “selamat” dan “merbahaya” dengan skala kodnya masing-masing.
Siapakah yang melantik golongan kuffar ini untuk mengklasifikasikan dunia untuk kita? Bukankah kita ini Khalifah Allah di mukabumi? Jadi kenapa harus ada orang kafir yang mengajar kita tentang haq dan bathil? Kenapa kita sampai tidak merasakan bahawa jihad saudara kita di Palestin sebagai jihad kita juga di bumi bertuah Malaysia ini?
Anehnya, kita mudah akur dengan rentak permainan media hinggakan secara tidak sedar kita terap terima maklumat yang dicambahkan ke minda tanpa soal. Pendeknya, minda kita dan cara kita merumuskan sesuatu isu berjaya dikawali oleh si dajjal bermata satu. Ini adalah objektif utama para orientalis yang kini sudahpun meraih kejayaan di dalam usaha gigih mereka untuk merobek Islam di buminya sendiri.
Sebagai golongan muda, kita harus sedar bahawa pemencilan terhadap fakta sebenar dan tiupan semangat ruh jihad yang dituntut ke atas setiap Muslim Mukmin itu adalah sesuatu yang lahir daripada perancangan agung mush-musuh Islam sejak sekian lama. Usaha penyisihan ummah daripada Quran dan Sunnah merupakan objektif utama kumpulan orientalis yang menyusun gerakkerja mereka secara sistematik menggunakan tenaga manusia serta teknologi, wang yang banyak, serta sistem ataupun manhaj yang tersusun rapi demi meranapkan aqidah umat Islam.
Di antara mangsanya adalah jutaan malah berbilion umat Islam dunia termasuklah para kepimpinan mereka yang terpaksa akur dengan percaturan yang rapi daripada golongan orientalis ini, menurut Al-Fadhil Ustaz Mohd Darus Senawi Ali, Naib Presiden  HALUAN Malaysia semasa menyampaikan kuliah maghribnya di salah sebuah masjid di USJ Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
“Mereka ini sungguh licik. Malahan lebih licik daripada pihak polis rahsia di sesebuah negara kerana merekalah perancang agung tentang bagaimana bumi ini harus diperintah di masa hadapan. Kerana sukarnya menanggalkan pegangan Islam daripada majoriti umat Islam dunia, mereka telahpun mengubah strategi mereka dari tahun ke setahun agar terurailah ikatan Islam, ikatan demi ikatan, di kalangan generasi muda kita. Mereka ingin melahirkan satu generasi muslim yang membesar di dalam Islam tetapi buta terhadap jahiliyah di sekeliling mereka. Kalau ini tercapai, mereka akan berjaya,” jelas beliau.
Telah dikatakan bahawa seorang ulamak Islam telah mengajar anaknya sejumlah hadith palsu dengan maksud anaknya:
– boleh mengenali yang mana hadith yang palsu & memastikan yang selain daripada itu adalah sahih
– dapat membuat perbandingan dan memahami hakikat penipuan besar yang sedang melanda ummah, dan
– dapat menyedari bahawa Islam berhadapan dengan musuh yang nyata dan rahsia.
“Oleh itu kita harus peka dengan penipuan demi penipuan yang berlaku di dalam masyarakat sehinggakan ummah ini tergamak bertoleransi ke tahap yang amat membahayakan pegangan tauhid kita kepada Allah swt. Kita harus sedar bahawa di sekeliling kita adalah musuh: ramai – bengis – biadap – tidak berperikemanusian dan ganas. Kita berhadapan dengan musuh yang mewarisi budaya dan amalan jahiliyah yang terdahulu. Mereka tidak akan berhenti sehinggalah matlamat melemahkan umat Islam ini tercapai,” kata Ustaz Mohd Darus.
SEJARAH ORIENTALISME
Orientalisme yang menyerang ummah ini datang dalam gelombang yang berbeza-beza.
Peringkat pertama bermula sejak barat mula mengenali Islam dan tamadunnya di Andalusia. Rasa kagum dan irihati yang memuncak terhadap keunggulan tamadun Islam membuatkan mereka merancang untuk melemahkan pengikutnya.
Peringkat kedua berlaku semasa peperangan salibiyah di mana setelah mereka gagal menyerang dan menakluki Palestin, mereka kembali berundur membuat persiapan dan strategi baru. Mungkinkah penggunaan senjata kurang berkesan?
Ada beberapa sebab mengapa jahiliyah barat membentuk barisan orientalisme ini setelah melihat kemajuan yang dibawa oleh Islam ke dalam masyarakat yang semakin luhur peribadi mereka. Kebimbangan pengaruh Islam terhadap tamadun barat Kristian memaksa mereka memikirkan strategi yang lebih berkesan untuk membentengi kemaraan fikrah Islamiyah ke benua Eropah dan Asia. Kita akan membincang persoalan ini di keluaran yang akan datang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

morzing.com dunia humor dan amazing!